Peribahasa (II) Jenis-jenis Peribahasa


Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia. 

Bertemu kita dalam bahagian kedua yang akan membincangkan mengenai topik Peribahasa. Pada entry kali ini, saya akan berkongsi ilmu mengenai jenis-jenis peribahasa. 

Sebagai ingatan semula, suka saya mengatakan bahawa Peribahasa merupakan rangkuman simpulanbahasa, perumpamaan, pepatah,bidalan dan perbilangan. Setiap satunya mempunyai sifat dan tujuan yang tertentu.



1. Simpulan Bahasa

Simpulan bahasa merupakan ungkapan yang telah mantap dan mempunyai maksud yang khusus. Simpulan bahasa adalah kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Maksudnya terdapat daripada apa yang tersirat atau tersembunyi, bukan daripada yang tersurat atau nyata. Ringkasnya, erti simpulan bahasa berlainan daripada perkataan yang digunakan.

Ia mempunyai maksud yang berbeza daripada makna harfiah kata-kata dalam ungkapan.

Ciri-ciri Simpulan Bahasa:
  • Terbentuk daripada penggunaan kata nama am - anak buah, anak emas, buah tangan, lipas kudung.
  • Terbentuk daripada penggunaan kata kerja - ajak-ajak ayam, buat bodoh, pasang telinga,cakar ayam
  • Terbentuk daripada penggunaan kata adjektif - besar kepala, bodoh sepat,kecil hati, berat hati
  • Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas - Abu Jahal,Mat Jenin,Pak Kaduk
  • Terbentuk daripada nilai kepercayaan - air pinang, batu buyung, makan bulan


Simpulan Bahasa
Maksud
Panjang tangan
Suka mencuri
Periuk nasi
Punca pencarian
Buruk siku
sudah diberi, diambil balik
Ikat perut
Berjimat makan dan minum
Kaki bangku
Tidak tahu bermain misalnya bola.
Namun, Menurut Za'aba, terhasilnya simpulan bahasa adalah dengan berdasarkan empat perkara iaitu:
·         Daripada perbandingan atau kiasan dengan cerita yang masyhur.
Contoh: Abu Jahal, Mat Jenin, Lebai Malang dan sebagainya.
·         Daripada benda atau kejadian yang berlaku di sekelilingnya
Contoh: mandi kerbau, mata duitan, kutu embun dan sebagainya.
·         Daripada kepercayaan orang ramai
Contoh: harimau berantai, buruk siku, dimakan bulan dan sebagainya.
·         Daripada kebiasaan atau resaman bahasa.
Contoh: ada hati, gila bahasa, beri muka dan sebagainya.


2. Perumpamaan

Perumpaan tergolong dalam peribahasa berlapis, iaitu mengandungi makna
tersurat dan tersirat.

Terdapat dua bentuk perumpamaan, iaitu: 
a) yang menyatakan perbandingan secara terang-teragnan 
b) dan yang tidak menyatakan perbandingan secara terang-terangan.

Perumpamaan yang menyatakan perbandingan secara terang-teranan didahului dengan kata-kata perbandingan seperti, umpama, bagai, laksana, ibarat dan baik; manakala perumpamaan yang tidak disebutkan perbandingan tidak didahului kata-kata perbandingan tersebut.

Contoh perumpaan yang disebut perbandingan
a. seperti katak di bawah tempurung
b. umpama kaca dengan permata
c. Bagai pungguk rindukan bulan
d. Ibarat air di daun keladi
e. laksana katak diharung ular.

Contoh perumpamaan yang tidak disebut perbandingan
a. Genggam bara api biar sampai jadi arang
b. Diberi betis hendak peha
c. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.


3. Bidalan

Bidalan ialah peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat. Ia mempunyai maksud dua lapis.

Bagaimanapun bdalan tidak didahului oleh kata sendi nama seperti, bagai, laksana dan umpama.

Perbezaan antara bidalan dengan pepatah ialah bidalan lebih kerap digunakan, mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran> Sedangkan pepatah lebih ringkas sifatnya dan tidak mempunyai pengajaran.

Contoh bidalan:

·         Malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan

·         Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.

·         Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

·         Hujan emad di negeri orang,hujan batu di negeri sendiri, Baik juga negeri sendiri.

·         Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.



4. Pepatah atau Perbilangan

Pepatah atau perbilangan mempunyai struktur yang hampir sama dengan pepatah dan bidalan. Namun, perbilangan disusun berangkap-rangkap seperti ikatan puisi.

Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan disebut satu demi satu seolah-olah orang sedang membuat perbilangan atau perkataan.

Ia berkait rapat dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat.

Contoh: 

·         Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat
·         Hati manusia sama dicecah, hati gajah sama dilapah.
·         Cubit paha iri, paha kanan sakit juga.
·         Ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Perbilangan adat merupakan susunan adat dalam bentuk puisi yang 
mencerita dan menerangkan sesuatu dan berasal daripada masyarakat
Melayu Minangkabau (adat/peraturan). Perbilangan adat ini berasal dan 
berkembang di daerah Minangkaba dan Palembang yang dikenali sebagai 
'Adat Minangkabau'.

Di Malaysia, perbilangan adat ini banyak diamalkan oleh masyarakat di 
Negeri Sembilan, iaitu digunakan dalam Adat Pepatih. Perbilangan adat ini 
diperturunkan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu
generasi.Perbilangan adat ini mengalami perubahan dan kesesuaian
mengikut keadaan dan zaman, seperti pada kedatangan Islam, perbilangan
adat mengalami penyesuaian dengan ajaran Islam seperti yang dibuktikan
oleh perbilangan ini :

                                Adat bersendi hukum
                                Hukum bersendi Kitabullah
                                Kuat adat, tak gaduhkan hukum
                                Kuat hukum, tak gaduhkan adat
                                Ikut hukum, muafakat
                                Ikut adat muafakat


Baiklah. Setakat ini dulu untuk bahagian kedua ini. Jumpa lagi pada bahagian ketiga. Insya Allah, saya akan sambung pula ke bahagian keempat dan kelima. 


(Perkongsian ilmu bersama Tutor.com dan Cikgu Saripah)







11 ulasan

Salsabila
15 Jun 2014 pada 12:48 PG

good

Unknown
15 Februari 2016 pada 9:58 PG

peribahasa bilangan ada?

tina
27 Jun 2018 pada 8:58 PTG

assalammualaikum cikgu, terima kasih atas perkongsian ilmu. semoga Allah membalas setiap kebaikkan tersebut. kalau tidak keberatan, boleh saya dapatkan rujukan dan sumber bahan yang cikgu buat ni?

Unknown
27 Mac 2020 pada 10:33 PTG

terbaik 👍

Unknown
29 Mac 2020 pada 9:14 PG

Salam cikgu. Saya nak tanya apa perbezaan perbandingan semacam dan peribahasa?

KEN LAW
21 Februari 2021 pada 5:13 PTG

e

Unknown
6 April 2021 pada 2:51 PG

Uuu best gila 👍👍👍

Unknown
17 Mei 2021 pada 1:47 PG

Walaupun pnjg tapi ia tetap berguna buat saya dan kawan-kawan saya terima kasih cikgu☺️

Unknown
17 Jun 2021 pada 6:59 PG

Terima kasih!

Unknown
24 Jun 2021 pada 7:46 PTG

Banyak kerja sekolah sekarang ni

Maia
5 Disember 2021 pada 10:04 PTG

Terima kasih cikgu atas nota yang sangat berguna. Saya terjumpa senarai peribahasa, harap dapat membantu kawan-kawan juga: https://peribahasa.maxxmint.com

Catat Ulasan